PUTRAJAYA, 9 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kontinjen Sabah bersedia sepenuhnya menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bilangan 14/2026 yang membincangkan persiapan akhir dan hala tuju penganjuran SUKMA, dengan penekanan terhadap usaha memastikan kemeriahan temasya itu dapat dirasai di seluruh negara.
“Kita mahu SUKMA menjadi platform terbaik untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, melibatkan 37 jenis sukan dan sebanyak 468 acara merangkumi kategori lelaki, wanita dan campuran.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizam turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya bagi membincangkan hala tuju strategik pembangunan belia dan sukan di Sabah.


Menurut beliau, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh fasiliti sukan di Sabah, termasuk perancangan penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan atlet negeri itu mempunyai kemudahan latihan bertaraf tinggi.
“Kami juga membincangkan bagaimana sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah boleh dipertingkatkan untuk manfaat bersama,” katanya, sambil menghargai keterbukaan pihak KBS dalam membincangkan keperluan pembangunan sukan di negeri itu.
Beliau menambah, kerajaan negeri komited memastikan kebajikan atlet terus terjaga selain membawa semangat “Sabah Maju Jaya” ke pentas sukan tertinggi negara.