KOTA KINABALU, 11 April 2026: Program Bersama Rakyat: Riadah Perpaduan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 1,500 rakyat pelbagai lapisan masyarakat di Taman Tasik Rekreasi, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, pagi ini.
Program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Jadi Rasmi TYT itu diserikan dengan keberangkatan tiba Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa bin Haji Aman serta kehadiran barisan pemimpin negeri dan agensi kerajaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata program tersebut mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Sabah di bawah naungan TYT.
“Kehadiran rakyat daripada pelbagai latar belakang membuktikan semangat kebersamaan yang jitu, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam komuniti,” katanya.
Antara pengisian utama program termasuk sesi senamrobik perpaduan, acara Fun Walk mengelilingi tasik serta pelbagai aktiviti sukan tradisional seperti melastik, memanah dan menyumpit, yang turut disertai oleh TYT.
Selain itu, TYT turut meluangkan masa melawat tapak pameran Lembaga Sukan Sabah dan Majlis Sukan Negeri Sabah sebelum menyempurnakan acara memotong kek sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi baginda.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati oleh Nizam kepada TYT, selain acara cabutan bertuah kepada peserta.
Turut hadir, Datuk Jafry Ariffin; Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu; serta beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat, merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya.