TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Rakyat Sabah (PGRS) menyambut baik cadangan pindaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkaitan penstrukturan jumlah bahagian parti daripada 74 kepada 26 bahagian sebagaimana yang terkandung dalam agenda Persidangan Agung Khas PGRS di bawah Fasal 16.1.
Menurut beliau, pindaan tersebut merupakan langkah strategik dan berpandangan jauh dalam memastikan struktur parti menjadi lebih kemas, tersusun dan berkesan bagi menghadapi cabaran politik semasa.
Katanya, penstrukturan itu bukan sekadar melibatkan perubahan angka, sebaliknya usaha memperkukuh gerak kerja parti supaya lebih fokus, mudah diselaraskan serta mampu digerakkan secara lebih menyeluruh di peringkat akar umbi.
“Struktur yang lebih tersusun akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan serta memastikan tenaga dan sumber parti digunakan dengan lebih cekap,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, dalam landskap politik yang semakin mencabar, sesebuah parti bukan sahaja perlu memiliki sokongan besar, tetapi juga organisasi yang mantap dari segi disiplin, penyelarasan dan keberkesanan jentera.
Selain itu, pindaan berkenaan turut dilihat mampu memperkukuh perpaduan dalaman parti apabila gerak kerja disusun melalui struktur yang lebih terselaras dan tersusun.
Katanya, penstrukturan itu tidak seharusnya dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak, sebaliknya penyusunan semula kekuatan untuk memastikan PGRS terus menjadi parti tempatan Sabah yang kukuh, responsif dan dekat dengan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan PGRS amat penting dalam memperkukuh kestabilan GRS dan kerajaan negeri.
“Saya percaya langkah ini mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Presiden PGRS dan Pengerusi GRS dalam melakukan penyesuaian yang perlu demi masa depan parti,” katanya.
Menurut beliau, semua pihak perlu melihat pindaan tersebut dengan jiwa besar kerana ia bertujuan menyusun semula kekuatan parti agar lebih bersedia dan tersusun dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah.