Nizam pengerusikan Mesyuarat KOSAN, terima kunjungan beberapa persatuan

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) Bil. 2/2026 di Bilik Mesyuarat Utama KBSK, Wisma MUIS, semalam.

Mesyuarat itu menjadi platform penting bagi memperkukuh hala tuju strategik KOSAN agar terus relevan dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat Sabah.

Menurut Nizam, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) komited menyokong usaha agensi di bawah kementerian dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli lembaga pengarah atas komitmen, pandangan dan sinergi yang diberikan sepanjang mesyuarat berlangsung.

“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk memperkukuh serta membincangkan hala tuju strategik KOSAN agar terus relevan dan memberi impak positif kepada masyarakat Sabah,” katanya.

Pada hari sama, Nizam turut menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Ping Pong Daerah Tuaran di Bilik Mesyuarat Utama KBSK, Wisma MUIS.

Pertemuan itu membincangkan hala tuju, perancangan aktiviti serta usaha memperkasakan sukan ping pong di peringkat akar umbi, khususnya di daerah Tuaran.

Nizam berkata, KBSK sentiasa komited memberikan sokongan kepada persatuan sukan tempatan yang aktif mencungkil bakat-bakat baharu dan membangunkan program akar umbi secara tersusun.

Katanya, sukan ping pong mempunyai potensi untuk terus berkembang sekiranya mendapat sokongan berterusan daripada persatuan, komuniti, jurulatih dan pemain muda.

“KBSK sentiasa komited memberikan sokongan kepada persatuan sukan tempatan dalam mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi mengharumkan nama Sabah di persada kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan jawatankuasa Persatuan Ping Pong Daerah Tuaran atas komitmen tinggi dalam memajukan sukan tersebut.

Selain itu, Nizam turut menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan Persatuan Generasi Permotoran Harmoni Sabah, kelmarin.

Sesi pertemuan itu menjadi ruang untuk bertukar pandangan mengenai usaha menyuburkan aktiviti permotoran yang sihat, selamat dan berdisiplin dalam kalangan belia di Sabah.

Menurut Nizam, KBSK menyokong usaha persatuan dan badan bukan kerajaan yang komited membimbing komuniti permotoran agar dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Beliau berkata, komuniti permotoran mempunyai potensi besar untuk digerakkan secara lebih tersusun, bukan sahaja sebagai aktiviti minat belia, tetapi juga sebagai sebahagian daripada pembangunan sukan permotoran dan ekonomi kreatif tempatan.

“Sinergi yang kukuh antara pihak kementerian dan komuniti belia amat penting demi memastikan anak muda kita terus mempunyai ruang yang selamat untuk mengekspresikan minat mereka secara positif, berdisiplin dan bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Nizam berkata, siri pertemuan tersebut mencerminkan komitmen KBSK untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk koperasi, persatuan sukan dan komuniti belia.

Katanya, kerjasama seperti itu penting bagi memastikan agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif di Sabah dapat digerakkan secara inklusif, bersepadu dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *