Nizam hadiri Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Atlet SUKMA, Para SUKMA Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri majlis bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi menyantuni atlet SUKMA dan Para SUKMA Sabah, semalam.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda sokongan kepada para atlet yang bakal membawa cabaran Sabah ke temasya SUKMA dan Para SUKMA di Selangor pada Ogos dan September ini.

Menurut Nizam, amanat yang disampaikan Ketua Menteri menjadi suntikan semangat penting kepada seluruh kontinjen Sabah dalam usaha memburu kejayaan dan mengharumkan nama negeri.

“Bagi pihak Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Ketua Menteri atas ruang kesempatan dan amanat berharga yang telah disampaikan.

“Amanat beliau pastinya menjadi suntikan semangat terbesar untuk melonjakkan komitmen barisan atlet kita memburu pingat emas,” katanya.

Nizam berkata, pihak kementerian memberikan komitmen penuh dalam memastikan semua jenis sukan mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya menjelang temasya berkenaan.

Katanya, persiapan yang rapi amat penting bagi memastikan kontinjen Sabah mampu memberikan saingan terbaik serta mencapai keputusan membanggakan.

“Dalam persiapan kali ini, pihak kementerian memberikan komitmen penuh dan layanan terbaik kepada semua jenis sukan kerana kita harapkan yang terbaik untuk kontinjen Sabah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa gembira melihat maklum balas positif daripada para atlet yang hadir dengan semangat tinggi, ceria dan yakin menghadapi cabaran di Selangor.

Dalam masa sama, Nizam mengingatkan seluruh kontinjen agar sentiasa menjaga disiplin, menunjukkan akhlak terpuji dan mempamerkan semangat kesukanan sepanjang temasya berlangsung.

Katanya, atlet bukan sahaja bertanding untuk mengejar kemenangan, tetapi turut membawa nama dan maruah Negeri Sabah.

“Di samping mengejar kejuaraan, saya ingin mengingatkan seluruh kontinjen agar sentiasa menjaga disiplin, menunjukkan akhlak yang terpuji, serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang berada di Selangor.

“Ingatlah anda semua sedang membawa nama dan maruah Negeri Sabah,” katanya.

Nizam turut mengajak rakyat Sabah mendoakan agar seluruh kontinjen negeri sentiasa berada pada tahap kecergasan terbaik, bebas daripada kecederaan dan mampu melakar kejayaan gemilang buat Negeri di Bawah Bayu.

“Maju Sukan untuk Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *