KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy terus memantau perkembangan projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Merotai yang menjadi perhatian masyarakat setempat.
Beliau berkata, pada Mac lalu pihaknya telah mengemukakan surat kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan serta status terkini berhubung projek tersebut.
Menurut Andi, beliau kini telah menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai perkembangan semasa pelaksanaan projek berkenaan.
“Saya telah menerima maklum balas rasmi daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkenaan perkembangan semasa projek tersebut.
“Perkara seperti ini akan terus saya pantau bagi memastikan keperluan rakyat serta pembangunan di kawasan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Berdasarkan maklum balas rasmi JBPM bertarikh 15 Mei 2026, kemajuan kerja fizikal sebenar di tapak projek ketika ini adalah sebanyak 96.60 peratus berbanding kemajuan berjadual 100 peratus.
Surat berkenaan turut memaklumkan bahawa tarikh siap asal projek adalah pada 29 September 2024. Bagaimanapun, kontraktor yang dilantik telah ditamatkan perkhidmatan pada 5 November 2025 susulan ketidakupayaan untuk meneruskan pelaksanaan baki kerja projek.
JBPM melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah mengemukakan permohonan kenaikan kos projek kepada Kementerian Ekonomi pada 5 Mei 2026.
Menurut maklum balas itu lagi, projek berkenaan akan ditender semula bagi menyiapkan baki kerja selepas kelulusan kenaikan kos diperoleh daripada Kementerian Ekonomi.
Projek tersebut dijangka dapat disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas pelantikan kontraktor penyiap, seterusnya beroperasi bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Andi berkata, kemudahan seperti balai bomba amat penting kepada kawasan Merotai dan sekitarnya, khususnya dalam memperkukuh aspek keselamatan, kesiapsiagaan kecemasan serta perkhidmatan menyelamat kepada penduduk.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kemudahan asas di kawasan Parlimen Kalabakan akan terus diberi perhatian, termasuk melalui pemantauan berterusan terhadap projek-projek yang berkepentingan kepada rakyat.
“Keutamaan saya adalah memastikan setiap kemudahan yang diperlukan rakyat dapat direalisasikan dan sebarang isu pelaksanaan dapat disusuli dengan pihak berkaitan,” katanya.