KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady memulakan Mesyuarat Kedua Parlimen Malaysia dengan komitmen untuk terus membawa suara rakyat, khususnya berkaitan keperluan dan kepentingan masyarakat di kawasan Kalabakan.
Beliau berkata, selain perbahasan rasmi dalam Dewan Rakyat, pelbagai perkara turut dibincangkan di luar dewan bersama rakan-rakan pemimpin, termasuk pertukaran pandangan dan jaringan kerjasama yang boleh membantu mencari penyelesaian kepada isu rakyat.
Menurut Andi, ruang pertemuan dan perbincangan di Parlimen penting kerana banyak perkara melibatkan pembangunan kawasan, dasar kerajaan dan keperluan rakyat boleh diperhalusi secara lebih dekat bersama pihak berkaitan.
“Di sebalik perbahasan dalam Dewan, banyak perkara turut dibincangkan di luar Dewan bersama rakan-rakan pemimpin. Pertukaran pandangan serta jaringan kerjasama seperti inilah yang sering menjadi pemangkin kepada idea dan penyelesaian untuk rakyat,” katanya.
Andi berkata, beliau akan terus bekerja dan menyampaikan suara rakyat demi agenda Kalabakan yang lebih baik, termasuk memastikan isu-isu melibatkan kawasan luar bandar, infrastruktur, ekonomi dan kebajikan masyarakat terus mendapat perhatian.
Dalam perkembangan berkaitan, Andi turut menghadiri taklimat Program Penyasaran Subsidi Diesel atau BUDI MADANI yang disampaikan oleh Kementerian Kewangan, semalam.
Beliau berkata, sesi taklimat itu memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk mendapatkan penjelasan, pandangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan dasar penyasaran subsidi diesel.
Menurutnya, sebarang pendekatan dasar yang dilaksanakan perlu mencapai objektif membantu kumpulan sasar, namun pada masa sama mengambil kira keadaan sebenar rakyat di lapangan.

“Saya menghargai segala pandangan, penjelasan dan maklum balas yang dikongsikan dalam sesi ini.
“Semoga pendekatan yang dilaksanakan dapat mencapai objektif, di samping mengambil kira keperluan rakyat serta realiti di lapangan khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Andi berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai keadaan geografi, kos logistik serta keperluan pengangkutan yang berbeza berbanding Semenanjung, justeru suara dari kedua-dua wilayah itu perlu terus diberi perhatian dalam pelaksanaan dasar berkaitan subsidi dan kos sara hidup.
Beliau menegaskan bahawa peranannya di Parlimen bukan hanya tertumpu kepada perbahasan rasmi, tetapi turut merangkumi usaha mendapatkan penjelasan dasar, menyampaikan maklum balas rakyat dan memastikan kepentingan Kalabakan terus dibawa dalam setiap ruang yang tersedia.