TAWAU, 24 April 2026: Program “Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan” yang menampilkan penceramah jemputan dari Indonesia, Oki Setiana Dewi, berlangsung dengan penuh penghayatan di Dewan Masyarakat Tawau, baru-baru ini.
Program keagamaan yang dianjurkan oleh LKPIM Tawau bersama Kumpulan Selawat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana yang sarat dengan pengisian rohani.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata program seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh nilai keimanan serta membina masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.
“Pengisian yang disampaikan bukan sahaja memberi inspirasi, malah menyuntik kesedaran tentang kepentingan mengamalkan nilai ihsan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Oki Setiana Dewi, yang dikenali sebagai pendakwah, penulis dan figura inspirasi Muslimah, menyampaikan ceramah dengan pendekatan yang lembut, ilmiah dan penuh hikmah, sekali gus menyentuh hati para hadirin.
Pengisian tersebut turut menekankan kepentingan memperkukuh ketakwaan kepada Allah SWT serta mengamalkan nilai nilai murni dalam kehidupan, sama ada dalam institusi keluarga, masyarakat mahupun kerjaya.
Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi turut diperkaya dengan kekuatan spiritual dan akhlak mulia.