Kelab Ping Pong Kudat adakan kunjungan hormat, perkasa sukan akar umbi

KOTA KINABALU, 22 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Kelab Ping Pong Tanjung Kapor, Kudat dalam satu pertemuan di pejabatnya di Bangunan MUIS, di sini.

Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkasakan pembangunan sukan ping pong di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan Kudat.

Menurut Nizam, penglibatan aktif kelab sukan tempatan memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat baharu serta membina asas pembangunan sukan yang mampan.

“Saya amat menghargai komitmen kelab yang terus aktif melahirkan bakat muda yang berpotensi mengharumkan nama Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti sukan di peringkat komuniti bukan sahaja penting dalam pembangunan atlet, malah membantu membentuk disiplin serta jati diri dalam kalangan belia.

“Inisiatif seperti ini menyediakan platform sihat kepada generasi muda dan perlu terus diperkukuh,” katanya.

Nizam berharap kerjasama yang terjalin dapat terus menyemarakkan budaya sukan serta memperkukuh pembangunan belia di Sabah selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *