KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu, Datuk Zainudin Aman, di KBSK Wisma MUIS, Selasa lepas.
Kunjungan tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), bersama rombongan delegasi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Menurut Nizam, pertemuan itu menjadi platform terbaik untuk berbincang, bertukar pandangan serta memperkukuh sinergi antara pihak kementerian dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian dan pentadbiran negeri amat penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi impak optimum kepada rakyat.
“Pertemuan yang berjalan lancar ini menjadi platform terbaik bagi kami untuk berbincang, bertukar pandangan, serta memperkukuh sinergi antara pihak kementerian dan pentadbiran Kerajaan Negeri seiring dengan objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Zainudin dan seluruh delegasi atas kesudian meluangkan masa mengadakan kunjungan tersebut.
Katanya, input strategik yang dikongsikan dalam pertemuan itu amat penting dalam membantu KBSK terus memainkan peranan secara berkesan dalam agenda pembangunan belia, kemajuan sukan dan ekonomi kreatif di Sabah.
Beliau berkata, KBSK akan terus memberikan komitmen penuh serta kerjasama erat dalam mendukung dasar Kerajaan Negeri, khususnya bagi memastikan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat.
“Terima kasih diucapkan kepada Datuk SKN dan seluruh delegasi atas kesudian meluangkan masa dan berkongsi input strategik demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, KBSK akan terus memberikan komitmen penuh dan kerjasama erat dalam memastikan setiap dasar Kerajaan Negeri mencapai impak yang optimum,” katanya.