Nizam terima kunjungan pelbagai persatuan, perkukuh kerjasama belia, sukan dan ekonomi kreatif

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menerima beberapa siri kunjungan hormat daripada pelbagai persatuan dan organisasi di pejabatnya, KBSK Wisma MUIS, semalam dan kelmarin.

Kunjungan tersebut melibatkan barisan jawatankuasa Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Sabah, kepimpinan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Persatuan Tenis Negeri Sabah, Persatuan Pembangunan Eko dan Usahawan Sosial Sabah serta pengurusan kelab bola sepak Gori United.

Menurut Nizam, siri pertemuan itu menjadi medan terbaik untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta meneroka ruang kerjasama strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif di Sabah.

Beliau berkata, setiap organisasi yang hadir membawa peranan dan kekuatan tersendiri dalam membantu kementerian memperluaskan jaringan kerjasama, khususnya di peringkat komuniti dan akar umbi.

Dalam pertemuan bersama Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Sabah, Nizam berkata pengalaman luas serta jasa para veteran bola sepak tempatan amat bernilai dalam usaha menyuntik inspirasi kepada generasi muda.

Katanya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) sentiasa menyokong usaha persatuan yang komited memajukan industri sukan negeri, di samping menjaga kebajikan serta menghargai sumbangan bekas atlet.

“Pengalaman luas serta jasa yang telah dicurahkan oleh para veteran bola sepak tempatan kita amat bernilai dalam usaha menyuntik inspirasi kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu, kunjungan daripada barisan kepimpinan MUIS pula membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam memperkasa pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif yang berlandaskan nilai-nilai murni.

Nizam berkata, hubungan kolaboratif antara kementerian dan agensi agama seperti MUIS penting bagi memastikan program pembangunan modal insan dapat melahirkan generasi muda Sabah yang dinamik, progresif serta memiliki jati diri dan sahsiah yang tinggi.

Dalam pertemuan bersama Persatuan Tenis Negeri Sabah, perbincangan tertumpu kepada hala tuju pembangunan sukan tenis di Sabah, khususnya usaha mencungkil bakat muda baharu serta keperluan penyediaan fasiliti latihan yang lebih kondusif.

Beliau berkata, KBSK akan terus menyokong persatuan sukan tempatan yang aktif menggerakkan program pembangunan atlet demi meningkatkan mutu sukan negeri ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nizam turut menerima kunjungan Persatuan Pembangunan Eko dan Usahawan Sosial Sabah yang membincangkan agenda usahawan sosial serta pembangunan eko-pelancongan dalam kalangan belia.

Katanya, kementerian menyokong penuh inisiatif badan bukan kerajaan yang komited memacu ekonomi kreatif berasaskan kelestarian alam sekitar.

“Sinergi seperti ini amat penting demi memastikan golongan muda kita terus berdaya saing, kreatif dan mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat,” katanya.

Selain itu, Nizam turut menerima kunjungan pengurusan kelab bola sepak Gori United bagi bertukar pandangan mengenai hala tuju kelab serta usaha memperkasakan ekosistem bola sepak di Sabah.

Beliau berkata, beberapa cadangan yang dibentangkan pihak Gori United, khususnya berkaitan penganjuran bola sepak akar umbi di daerah Tawau, amat dihargai.

Bagi mengeratkan lagi hubungan, sesi tersebut turut disusuli dengan perlawanan persahabatan antara pasukan KBSK dan Gori United di Stadium Likas pada sebelah malam.

Nizam berkata, kerjasama strategik antara kementerian, persatuan, NGO, agensi dan kelab sukan tempatan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan belia dan sukan di Sabah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

“Semoga ikatan kerjasama ini terus kukuh demi kegemilangan sukan, pembangunan belia dan kemajuan ekonomi kreatif Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *