TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Welcoming Dinner sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, semalam.
Majlis makan malam alu-aluan itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran delegasi antarabangsa dari pelbagai negara yang hadir membawa keunikan seni, budaya dan warisan masing-masing.
Antara negara yang mengambil bahagian dalam FKAT 2026 ialah Indonesia, Uzbekistan, Kazakhstan, Sri Lanka dan Kemboja.
Menurut Nizam, penyertaan delegasi dari negara-negara sahabat itu bukan sahaja memperkayakan kepelbagaian budaya yang dipersembahkan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan persahabatan, persefahaman serta kerjasama budaya di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kehadiran delegasi luar negara juga membantu mengangkat Tawau sebagai destinasi yang meraikan kepelbagaian budaya dunia.
“Penyertaan delegasi dari negara-negara sahabat ini bukan sahaja memperkayakan kepelbagaian budaya yang dipersembahkan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan persahabatan, persefahaman serta kerjasama budaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Nizam berkata, FKAT 2026 turut berperanan sebagai ruang pertemuan budaya yang menghubungkan masyarakat tempatan dengan komuniti antarabangsa melalui seni persembahan, warisan dan nilai persahabatan.
Sepanjang majlis berlangsung, para hadirin turut disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang memukau, menampilkan keindahan seni tradisional serta identiti budaya daripada setiap negara yang mengambil bahagian.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tuan Mohd Shofian Haji Said, bersama barisan kepimpinan dan tetamu kehormat yang lain.
Nizam berkata, majlis makan malam alu-aluan itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada semua delegasi dari dalam dan luar negara atas komitmen serta penyertaan mereka dalam menjayakan FKAT 2026.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh delegasi antarabangsa ke Tawau dan berharap festival berkenaan menjadi medan memperkukuh hubungan persahabatan serta memupuk persefahaman antara budaya.
“Selamat datang ke Tawau kepada seluruh delegasi antarabangsa.
“Semoga Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2026 menjadi medan yang memperkukuhkan hubungan persahabatan, memupuk persefahaman antara budaya, serta meninggalkan kenangan yang bermakna buat semua yang terlibat,” katanya.
Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran FKAT 2026, khususnya dalam memastikan Tawau terus dikenali sebagai daerah yang kaya dengan budaya, mesra komuniti dan terbuka kepada jaringan antarabangsa.