Nizam kunjungi Sekolah Sukan Malaysia Sabah, santuni 198 atlet pelajar

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mengadakan lawatan ke Sekolah Sukan Malaysia Sabah di Sepanggar, semalam.

Lawatan tersebut memberi ruang kepada beliau menyantuni seramai 198 atlet pelajar anak watan Sabah yang sedang mengikuti latihan dan pembelajaran di sekolah berkenaan.

Menurut Nizam, tujuan utama lawatan itu adalah untuk membuka ruang interaksi secara langsung antara Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Majlis Sukan Negeri Sabah, pihak sekolah, guru, jurulatih dan para atlet.

Beliau berkata, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan kementerian melihat, mendengar dan memahami sendiri keperluan serta cabaran sebenar yang dihadapi atlet pelajar di lapangan.

“Kita mahu turun melihat, mendengar dan memahami sendiri keperluan serta cabaran sebenar mereka di padang,” katanya.

Nizam berkata, setiap cabang sukan mempunyai cabaran tersendiri, namun kejayaan atlet tetap bertitik tolak daripada nilai asas yang sama iaitu disiplin, kesungguhan, keberanian dan rasa hormat kepada guru serta jurulatih.

Beliau turut mengingatkan para atlet pelajar agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk belajar dan berlatih dalam suasana serta fasiliti yang disediakan.

Katanya, kejayaan seorang atlet tidak dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan pengorbanan, ketahanan mental dan kesungguhan untuk bangkit daripada kegagalan.

“Di sebalik setiap pingat, ada keringat, keletihan dan kegagalan. Atlet yang hebat bukan sahaja diukur ketika menang, tetapi ketika dia mampu bangkit semula selepas rebah,” katanya.

Sebagai tanda sokongan, pihak kementerian turut menyampaikan saguhati bantuan kewangan kepada atlet-atlet pelajar kelahiran Sabah bagi membantu keperluan latihan, pembelajaran dan harian mereka di sekolah berkenaan.

Nizam berkata, KBSK akan terus memberi perhatian kepada pembangunan atlet muda, khususnya mereka yang sedang melalui fasa penting dalam pembentukan disiplin, prestasi dan jati diri sebagai atlet masa depan negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran, guru, jurulatih dan seluruh warga Sekolah Sukan Malaysia Sabah atas komitmen mereka dalam membimbing atlet pelajar.

“Pesanan saya, jaga kesihatan, disiplin, pelajaran dan hubungan dengan ibu bapa. Teruskan berusaha dan bermimpi besar, bawa semangat Sabah dalam setiap latihan dan pertandingan.

“Kita mahu melihat bendera Sabah dan Malaysia terus dikibarkan tinggi melalui kejayaan anda semua,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *