Nizam adakan lawatan ke MSN, ISN dan santuni atlet Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi sukan peringkat Persekutuan bagi memantapkan pembangunan atlet dan ekosistem sukan negeri.

Menterinya, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui lawatan kerja dan kunjungan hormat delegasi KBSK ke Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, semalam.

Menurut Nizam, kunjungan tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya dalam bidang pembangunan atlet, pengurusan sukan berprestasi tinggi dan pemerkasaan infrastruktur sukan moden.

Beliau berkata, lawatan itu turut memberi peluang kepada KBSK untuk meneliti amalan terbaik dalam pengurusan atlet, pembangunan infrastruktur sukan serta pengaplikasian sains sukan bagi meningkatkan prestasi atlet Sabah.

“Fokus utama kami adalah untuk meneliti amalan terbaik dalam pengurusan atlet, pembangunan infrastruktur sukan moden, serta pengaplikasian sains sukan berprestasi tinggi demi melonjakkan mutu sukan di Sabah,” katanya.

Nizam berkata, perbincangan bersama pihak MSN dan ISN turut menyentuh pelbagai agenda bagi memperkasakan bakat muda dan atlet elit Sabah agar terus berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi MSN dan ISN atas sambutan serta perkongsian yang disifatkan sangat produktif.

Dalam perkembangan sama, KBSK turut mengadakan Majlis Makan Malam bersama Atlet Negeri Sabah di Ballroom 3, Level 3, Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South.

Majlis itu menghimpunkan kira-kira 57 atlet pelajar kelahiran Sabah yang kini sedang menjalani latihan dan pembangunan sukan di beberapa institusi serta program prestasi tinggi di Semenanjung.

Majlis Makan Malam bersama Atlet Negeri Sabah

Jumlah tersebut merangkumi 10 atlet dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, enam atlet dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang, 18 atlet daripada Program Podium dan Pelapis Kebangsaan, 21 atlet daripada Program PARA serta enam pemain bola sepak dari Akademi Mokhtar Dahari.

Nizam berkata, majlis tersebut memberi ruang kepada kementerian untuk mendekati para atlet Sabah secara lebih dekat, selain memahami cabaran yang dihadapi mereka sebagai atlet pelajar yang berjauhan daripada keluarga sejak usia muda.

“Kami hadir bukan sekadar melihat dari jauh, tetapi untuk mendengar, memahami dan merasai sendiri perjalanan mencabar adik-adik sebagai atlet pelajar yang terpaksa berjauhan daripada keluarga di usia muda demi membahagikan masa antara latihan, pelajaran dan disiplin harian,” katanya.

Menurutnya, pengorbanan para atlet muda itu amat besar kerana mereka bukan sahaja perlu mengekalkan disiplin latihan, tetapi juga memastikan prestasi akademik dan pembangunan diri terus seimbang.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah melalui KBSK sentiasa bersedia untuk mendengar, membantu dan memberi sokongan padu kepada atlet kelahiran Sabah walau di mana mereka berada.

“Kita mahu memastikan bahawa atlet kelahiran Sabah, di mana pun mereka berada, tetap merasakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan dan kebajikan mereka,” katanya.

Nizam turut mendoakan atlet Sabah yang tidak dapat hadir kerana sedang menyertai kejohanan di luar negara agar terus diberikan kekuatan, kesihatan dan kejayaan di pentas dunia.

Beliau berkata, KBSK akan terus memberi perhatian kepada aspek kebajikan, fasiliti dan sokongan ekosistem sukan bagi memastikan mutu sukan Sabah terus melonjak.

“Komitmen kami di KBSK adalah untuk memastikan ekosistem sukan di Sabah terus maju, inklusif dan berdaya saing tinggi.

“Syabas kepada semua atlet. Teruskan perjuangan dengan semangat Sabah Maju Jaya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *