TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Daerah Semporna dan Majlis Daerah Kunak, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif.
Nizam merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Majlis yang menerima pelantikan dan berharap amanah tersebut dapat digalas dengan penuh integriti, komitmen serta rasa tanggungjawab.
Menurut beliau, peranan Ahli Majlis amat penting dalam memastikan suara masyarakat setempat dapat dibawa ke peringkat pihak berkuasa tempatan, selain membantu memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua Ahli Majlis yang telah menerima pelantikan. Semoga amanah yang diberikan dapat digalas dengan penuh integriti, komitmen dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tempatan memainkan peranan besar dalam kehidupan harian rakyat, khususnya melibatkan pengurusan perbandaran, kemudahan awam, kebersihan, pembangunan setempat serta kesejahteraan komuniti.
Justeru, katanya, pelantikan Ahli Majlis perlu dilihat sebagai tanggungjawab besar untuk memperkukuh hubungan antara masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Nizam turut berharap kerjasama erat antara semua pihak dapat terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan kerajaan tempatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, penyelarasan yang baik antara Ahli Majlis, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan komuniti setempat penting bagi memastikan keperluan rakyat dapat diberi perhatian secara menyeluruh.
“Semoga kerjasama erat antara semua pihak akan terus diperkukuhkan demi memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan kerajaan tempatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.