SAMOC bukti Sabah berpotensi jadi destinasi sukan antarabangsa

KOTA KINABALU: Kejohanan Sukan Olahraga Terbuka Masters Sabah (SAMOC) Kali Ke-14 Tahun 2026 membuktikan Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi utama penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, penyertaan besar atlet tempatan dan luar negara dalam kejohanan itu mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan Sabah menganjurkan acara sukan yang meriah, inklusif dan berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan SAMOC Kali Ke-14 Tahun 2026, semalam.

Menurut Nizam, kehadiran atlet Masters dari seluruh Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Semenanjung Malaysia serta peserta antarabangsa dari Singapura, Filipina, Brunei, Indonesia dan New Zealand membuktikan kejohanan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform perpaduan sukan dan persahabatan serantau.

“Kehadiran para atlet Masters dari seluruh Sabah, WP Labuan, Semenanjung Malaysia, serta peserta antarabangsa membuktikan bahawa SAMOC adalah satu medan perpaduan sukan yang hebat,” katanya.

Nizam turut menzahirkan rasa kagum terhadap penyertaan luar biasa seramai 768 atlet Masters dalam kejohanan kali ini.

Katanya, kehadiran atlet dan pegawai dari luar Sabah bukan sahaja penting kepada pembangunan sukan, malah memberi kesan limpahan ekonomi melalui sektor pelancongan sukan, pengenalan budaya tempatan serta pengukuhan hubungan persahabatan antara peserta.

Beliau berkata, Sabah memiliki kelebihan tersendiri sebagai lokasi penganjuran acara sukan berskala besar, didukung oleh keindahan alam semula jadi, kemudahan yang semakin baik dan keramahan rakyat tempatan.

“Sabah sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa.

“Berbekalkan keindahan alam semula jadi, kemudahan yang semakin baik dan kemesraan rakyat kita, KBSK komited untuk terus memajukan sukan di semua peringkat secara menyeluruh,” katanya.

Nizam berkata, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan dalam pelbagai kategori, termasuk sukan prestasi tinggi, belia, komuniti dan sukan Masters.

Menurutnya, SAMOC turut membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang terus aktif, sihat dan berdaya saing dalam bidang sukan.

Beliau berkata, atlet Masters wajar dijadikan contoh kepada generasi muda kerana mereka memperlihatkan disiplin, kesabaran dan komitmen berterusan dalam mengekalkan kecergasan serta semangat kesukanan.

“Kejohanan SAMOC ini membuktikan usia bukanlah penghalang untuk terus aktif. Para atlet Masters hari ini adalah contoh terbaik dan inspirasi kepada generasi muda bahawa kecemerlangan sukan memerlukan disiplin, kesabaran serta komitmen berterusan,” katanya.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sukan Masters Sabah (SAMAS) selaku penganjur, serta seluruh jawatankuasa, pegawai teknikal, sukarelawan, petugas, penaja dan semua pihak yang menjayakan kejohanan tersebut.

Beliau berharap SAMAS akan terus memperkasakan penganjuran kejohanan itu pada masa akan datang dengan impak yang lebih luas, sekali gus membantu meletakkan Sabah sebagai negeri yang mesra sukan dan mesra pelancong.

“Tahniah kepada semua pemenang. Kepada yang tidak berjaya, semangat juang anda semua adalah inspirasi sebenar bagi kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *