KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif komited untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah “Negeri Sukan” melalui penekanan terhadap pembangunan fasiliti serta program sukan yang lebih menyeluruh.
Menterinya, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah sebagai langkah strategik untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat di negeri ini.
“Kita mahu jadikan Sabah sebagai negeri sukan. Fasiliti sukan akan terus diberi perhatian bagi memastikan rakyat mempunyai akses yang lebih baik kepada aktiviti sihat,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan sektor sukan juga penting dalam menyediakan atlet Sabah untuk bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa secara lebih kompetitif.
“Pada masa sama, kita mahu melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan luar negara,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa ekonomi kreatif merupakan antara sektor yang berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan golongan belia serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ekonomi kreatif bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk menjana pendapatan sendiri, tetapi juga berupaya meningkatkan hasil negeri jika digerakkan secara tersusun,” katanya.