KALABAKAN, 16 April 2026: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menegaskan bahawa isu pemuktamadan sempadan darat di Pulau Sebatik antara Malaysia dan Indonesia perlu difahami berdasarkan fakta serta kerangka perjanjian yang sah, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang disiarkan oleh Sinar Harian yang memetik kenyataan pihak Indonesia mengenai kawasan seluas 127.3 hektar yang didakwa sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, namun kini disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan dimuktamadkan.
Menurut Andi, pelaporan yang tidak menyeluruh tanpa mengambil kira penjelasan rasmi kerajaan Malaysia berpotensi menimbulkan salah faham terhadap kedudukan sebenar isu tersebut.
“Kawasan yang dibincangkan sebelum ini berada dalam kategori Outstanding Boundary Problem (OBP), iaitu zon rundingan yang sejak awal belum dimuktamadkan sebagai milik mana-mana negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa pemuktamadan sempadan itu bukanlah satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba atau secara sepihak, sebaliknya hasil daripada proses rundingan dua hala yang panjang, termasuk kerja pengukuran bersama serta rujukan kepada perjanjian dan konvensyen antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa persepsi sesuatu kawasan “sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia” perlu diteliti dengan lebih mendalam dari sudut undang-undang dan sejarah, kerana kedudukan pentadbiran di lapangan tidak semestinya mencerminkan status sempadan rasmi.
Andi turut merujuk penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen yang menyatakan bahawa proses penetapan sempadan dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan kerajaan negeri Sabah serta agensi berkaitan.
“Pendekatan berasaskan diplomasi dan undang-undang antarabangsa adalah penting bagi memastikan kestabilan hubungan antara Malaysia dan Indonesia terus terpelihara,” katanya.
Beliau menambah, perbincangan mengenai isu sempadan perlu berpaksikan fakta yang tepat agar tidak menimbulkan kekeliruan atau sentimen yang boleh menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.