Tahukah anda? Kalabakan sudah lama guna portal aduan digital untuk rakyat

KALABAKAN, 15 April 2026: Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan telah lama memperkenalkan portal aduan digital bagi memudahkan urusan rakyat menyalurkan aduan serta mendapatkan bantuan secara lebih tersusun.

Inisiatif yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menyediakan pelbagai fungsi termasuk penghantaran aduan berkaitan infrastruktur, keselamatan dan isu komuniti, selain permohonan bantuan kebajikan, pendidikan serta geran komuniti.

Portal tersebut turut dilengkapi sistem semakan status yang membolehkan pengguna memantau perkembangan aduan atau permohonan mereka secara lebih telus dan efisien.

Menurut Andi, pendekatan digital ini penting bagi memastikan suara rakyat dapat didengar dan ditangani dengan lebih pantas selari dengan keperluan semasa.

“Kewujdan portal ini akan membantu rakyat untuk menyuarakan aduan; penting untuk kita menggunakan teknologi bagi membantu memudahkan rakyat berhubung dengan wakil rakyat mereka. Suara rakyat adalah perintah kami untuk Kalabakan yang makmur,” katanya.

Difahamkan, platform tersebut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Parlimen Kalabakan dengan menyediakan saluran komunikasi yang lebih mudah antara rakyat dan wakil rakyat.

Perkembangan ini juga selari dengan trend semasa yang mana penggunaan platform digital dalam pengurusan aduan rakyat semakin diperluaskan di beberapa kawasan lain di Sabah, termasuk inisiatif yang diperkenalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Pendekatan ini dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, cekap dan berteraskan teknologi demi manfaat rakyat.

Portal tersebut boleh diakses melalui: https://kalabakan-mengadu.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *