Nizam, Aliakbar bincang pembangunan belia, sukan dan Ekonomi kreatif di Karambunai

KOTA KINABALU, 15 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, hari ini menerima kunjungan hormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia serta potensi ekonomi kreatif di kawasan tersebut.

Menurut Nizam, pertemuan itu membuka ruang kepada pertukaran pandangan mengenai inisiatif yang boleh diperkasakan di peringkat akar umbi, khususnya dalam memastikan peluang pembangunan sampai kepada komuniti setempat.

“Kerjasama antara kementerian dan wakil rakyat amat penting bagi memastikan setiap program pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah, usaha memperkasa belia dan ekonomi kreatif perlu digerakkan secara bersepadu selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Dalam perkembangan berkaitan, Nizam turut menerima kunjungan hormat daripada kepimpinan Kelab Sukan Bermotor Dua Roda Bersatu (KDRB) bersama Skuad Antidadah Negeri Sabah bagi membincangkan cadangan penganjuran Sabah Drag Race (Car & Motorcycle) yang dijadual berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun depan di Lapangan Terbang Lama Tawau.

Katanya, penganjuran acara tersebut dilihat sebagai platform rasmi dan selamat bagi peminat sukan permotoran, di samping memupuk disiplin belia serta menyampaikan mesej gaya hidup sihat tanpa dadah.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memajukan sukan permotoran, malah membawa agenda sosial yang positif kepada belia kita,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa acara berskala besar seperti itu berpotensi merangsang ekonomi kreatif dan pelancongan sukan, khususnya di Tawau, sekali gus memberi manfaat kepada usahawan tempatan.

Nizam menegaskan KBSK sentiasa terbuka untuk menyokong program berimpak tinggi yang mampu memperkasa belia serta memacu pembangunan sukan dan ekonomi kreatif negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *