Kejohanan Golf Wanita Borneo 2026 himpunkan 124 pemain, perkukuh jaringan serantau

KOTA KINABALU, 14 April 2026: Kejohanan 24th Borneo Ladies Golf Challenge Trophy (BLGCT) 2026 menghimpunkan seramai 124 pemain golf wanita dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei Darussalam di Sabah Golf and Country Club, sekali gus memperkukuh hubungan sukan serantau di Borneo.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata penganjuran kejohanan tersebut mencerminkan kesinambungan tradisi sukan wanita yang telah bermula sejak 1991.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan golf, tetapi simbol keakraban antara wilayah Borneo serta platform untuk memperkukuh semangat kesukanan dan persaudaraan,” katanya ketika merasmikan Majlis Jamuan Teh Aluan kejohanan tersebut.

Menurut beliau, penganjuran BLGCT juga memberi ruang kepada pembangunan bakat baharu dalam sukan golf wanita, selari dengan usaha kementerian dalam memperkasa penyertaan wanita dalam sukan berprestasi tinggi.

Beliau turut menekankan kepentingan inisiatif seperti “Golf for Girls” dalam memastikan lebih ramai golongan muda wanita terlibat secara aktif dalam sukan.

“Kita mahu memastikan masa depan sukan di Sabah terus bersinar melalui penglibatan wanita yang berkeyakinan dan berdaya saing,” katanya.

Kejohanan yang kembali dianjurkan di Sabah itu turut dilihat sebagai platform penting dalam mempromosikan negeri ini sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa, selain mengukuhkan jaringan persahabatan antara peserta dari seluruh rantau Borneo.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi penganjur, Datin Dr. Jeanette Tambakau, serta jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut.

Beliau menyeru semua peserta agar memanfaatkan kejohanan ini bukan sahaja untuk bersaing, tetapi juga memperkukuh hubungan persaudaraan merentasi wilayah.

One thought on “Kejohanan Golf Wanita Borneo 2026 himpunkan 124 pemain, perkukuh jaringan serantau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *