TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyampaikan bantuan pendidikan tinggi kepada 114 pelajar dari kawasan Apas, semalam.
Majlis penyerahan bantuan itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Parti Gagasan Rakyat Sabah, Sabindo Square, Tawau.
Menurut Nizam, bantuan tersebut disalurkan bagi menyokong kelangsungan pengajian pelajar yang bakal atau sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat universiti.
Beliau berkata, bantuan itu diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan para penerima, di samping memberi semangat dan motivasi kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Semoga bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh para penerima serta memberi semangat dan motivasi untuk terus melangkah dalam mengejar cita-cita,” katanya.
Nizam berkata, pendidikan merupakan antara pelaburan paling penting untuk masa hadapan, khususnya dalam usaha membina generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.
Katanya, kejayaan pelajar dari kawasan Apas melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi merupakan satu kebanggaan kepada keluarga, komuniti dan kawasan tersebut.
Beliau berharap segala ilmu serta pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian kelak dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para pelajar.
“Pendidikan merupakan antara pelaburan terpenting untuk masa hadapan.
“Saya berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian kelak dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, seterusnya dibawa pulang untuk menyumbang kembali kepada keluarga, masyarakat dan kawasan asal,” katanya.
Nizam turut menasihatkan para pelajar agar tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran sepanjang pengajian.
Beliau berkata, peluang melanjutkan pendidikan tinggi perlu dijadikan langkah penting untuk membina masa hadapan yang lebih baik.
“Teruskan berusaha, jangan mudah berputus asa dan jadikan peluang ini sebagai langkah untuk membina masa hadapan yang lebih baik,” katanya.
Nizam turut mendoakan agar semua pelajar yang menerima bantuan tersebut dipermudahkan urusan pengajian dan dikurniakan kejayaan cemerlang.
Katanya, usaha menyokong pendidikan anak muda akan terus menjadi antara perhatian penting kerana ia berkait rapat dengan pembangunan modal insan dan masa depan negeri Sabah.