Nizam saksikan emas memanah, perak e-sukan Sabah di SUKMA 2026

SELANGOR: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyaksikan kejayaan atlet Sabah meraih pingat emas dan perak dalam temasya SUKMA Selangor 2026, semalam.

Pada sebelah petang, beliau bersama rombongan kementerian hadir di Stadium INSPEN bagi menyaksikan kejayaan atlet memanah Sabah menjuarai acara 70 Meter Recurve Lelaki.

Menurut Nizam, kejayaan tersebut merupakan detik membanggakan buat kontinjen Sabah, sekali gus membuktikan keupayaan atlet negeri untuk bersaing dan mencipta kejayaan dalam temasya berprestij itu.

“Alhamdulillah, pingat emas buat Sabah di SUKMA Selangor 2026.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada wira memanah kita atas kejayaan luar biasa menjuarai acara 70 Meter Recurve Lelaki di Stadium INSPEN,” katanya.

Nizam berkata, beliau amat bangga dapat menyaksikan detik bersejarah itu secara langsung bersama rombongan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih serta ibu bapa yang hadir memberikan sokongan padu kepada atlet Sabah.

Katanya, kejayaan atlet bukan sahaja lahir daripada disiplin dan latihan, tetapi turut diperkukuh melalui sokongan berterusan daripada jurulatih, pegawai pasukan, keluarga dan rakyat Sabah.

“Jutaan terima kasih juga kepada barisan jurulatih serta ibu bapa yang hadir memberikan sokongan padu demi kejayaan atlet kita,” katanya.

Pada sebelah malam, Nizam turut hadir ke Pusat Konvensyen MPAJ bagi menyaksikan perlawanan akhir e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) antara pasukan Sabah dan Melaka.

Perlawanan akhir itu berlangsung sengit, namun kejuaraan belum menyebelahi Sabah apabila pasukan negeri meraih pingat perak.

Walaupun tidak berjaya meraih emas, Nizam tetap menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang tinggi dan disiplin yang ditunjukkan oleh atlet e-sukan Sabah di pentas akhir.

“Walaupun kejuaraan belum menyebelahi kita malam ini, saya amat bangga melihat semangat juang tinggi dan disiplin yang ditunjukkan oleh anak-anak muda Sabah di pentas akhir,” katanya.

Beliau berkata, pingat perak yang dibawa pulang pasukan e-sukan Sabah merupakan bukti komitmen padu serta potensi besar yang dimiliki atlet muda negeri dalam arena sukan digital.

Menurutnya, kekalahan di pentas akhir bukanlah penghujung perjuangan, sebaliknya perlu dijadikan pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat pada masa hadapan.

“Pingat perak yang dibawa pulang ini adalah bukti komitmen padu serta potensi besar yang dimiliki oleh atlet e-sukan negeri kita.

“Kekalahan malam tadi bukanlah penghujung, ia adalah pembakar semangat untuk kita bangkit dengan lebih kuat pada masa hadapan,” katanya.

Nizam berkata, pencapaian atlet Sabah dalam kedua-dua acara itu mencerminkan kesungguhan kontinjen negeri untuk terus memberikan saingan terbaik sepanjang temasya SUKMA 2026.

Beliau turut menyeru semua atlet Sabah agar terus mengekalkan fokus, disiplin dan semangat juang dalam usaha memburu lebih banyak kejayaan untuk Negeri di Bawah Bayu.

“Syabas pasukan Sabah. Teruskan perjuangan dan terus harumkan nama negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *