TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan melawat tapak penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) kali ke-11, semalam.
Beliau meluangkan masa meninjau persiapan dan pengisian festival berkenaan yang disertai 32 pameran gerai etnik tempatan, sekali gus memperlihatkan kekayaan warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Tawau.
Menurut Nizam, beliau amat terharu melihat komitmen padu semua peserta yang hadir membawa keunikan budaya masing-masing dengan penuh rasa bangga dan semangat kebersamaan.
Katanya, kemesraan dan keharmonian yang terjalin dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Tawau membuktikan bahawa kepelbagaian budaya merupakan aset penting kepada negeri Sabah.
“Saya amat bangga melihat kesungguhan semua suku kaum di Tawau yang mempersembahkan keunikan budaya masing-masing dengan penuh rasa megah.
“Walaupun terdiri daripada pelbagai latar belakang, kemesraan dan keharmonian yang terjalin antara satu sama lain jelas membuktikan bahawa kepelbagaian etnik adalah aset serta kelebihan utama masyarakat kita,” katanya.
Nizam berkata, FKAT edisi kali ini turut mencatat pencapaian membanggakan dengan penyertaan delegasi kebudayaan dari lima negara, iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja, Indonesia dan Sri Lanka.
Beliau berkata, penyertaan delegasi antarabangsa itu bukan sahaja menyemarakkan lagi pengisian festival, malah berupaya menjadi daya tarikan pelancongan untuk memperkenalkan Tawau ke peringkat lebih luas.
Katanya, kehadiran peserta luar negara juga membuka ruang kepada pertukaran budaya, jaringan persahabatan dan promosi Tawau sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik di Sabah.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) selaku penganjur utama yang konsisten menjayakan festival berkenaan sehingga memasuki edisi ke-11.
Menurut beliau, kualiti persembahan seni, muzik, tarian, adat istiadat dan kepahlawanan etnik tempatan dilihat semakin meningkat serta ditambah baik dari tahun ke tahun.
“Kejayaan penganjuran ini pastinya tidak terhasil tanpa usaha keras Majlis Perbandaran Tawau selaku penganjur utama yang konsisten menjayakan festival ini selama 11 edisi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa teruja melihat sambutan ribuan pengunjung tempatan dan pelancong luar yang membanjiri tapak festival sejak hari pertama penganjuran.
Sehubungan itu, Nizam menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan Malam Kemuncak FKAT ke-11 pada 1 Ogos ini, yang dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus meletakkan penyatuan budaya sebagai antara teras penting dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di Sabah.
“Kekalkan perpaduan, martabatkan seni budaya kita,” katanya.