KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady membawa isu status terkini pemberian khas kepada Sabah ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses penyaluran amaun RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Menjawab pertanyaan tersebut, Kementerian Kewangan memperincikan perkembangan semasa pembayaran dan proses perundangan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan keseluruhan pemberian khas itu dapat disalurkan kepada Sabah.
Berdasarkan penjelasan kementerian, sebanyak RM600 juta telah disalurkan secara terus kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 12 Jun 2026.
Baki RM900 juta pula akan disalurkan selepas Perintah Pemberian Khas yang baharu berkuat kuasa.
Sekiranya proses pewartaan dapat diselesaikan dalam tahun ini, keseluruhan baki pembayaran itu disasarkan untuk disalurkan dalam tahun 2026.
Menurut Andi, penjelasan tersebut penting bagi memastikan rakyat Sabah mendapat maklumat yang jelas mengenai status sebenar pemberian khas berkenaan.
“Menjawab pertanyaan saya di Dewan Rakyat mengenai status pemberian khas Sabah, Kementerian Kewangan telah memperincikan langkah gerak kerja dan proses pembayaran yang sedang berjalan,” katanya.
Perkembangan pemberian khas kepada Sabah menyaksikan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Amaun tersebut adalah sebanyak RM125.6 juta pada 2022 sebelum meningkat kepada RM300 juta pada 2023.
Pada 2025, jumlah berkenaan dinaikkan kepada RM600 juta, sebelum pengumuman terbaharu dibuat bagi meningkatkan pemberian khas kepada RM1.5 bilion.
Bagi melaksanakan pembayaran penuh itu, proses perundangan di bawah Perkara 112D memerlukan penggubalan dan pewartaan Perintah Yang di-Pertuan Agong yang baharu.
Proses tersebut juga memerlukan persetujuan bertulis antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh lima tahun atau lebih.
Perintah baharu itu seterusnya akan menggantikan perintah terdahulu yang sedang berkuat kuasa.
Andi berkata, beliau akan terus menggunakan ruang di Parlimen untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara yang melibatkan kepentingan Sabah serta memastikan rakyat mengetahui perkembangan sebenar sesuatu dasar dan keputusan kerajaan.
Menurutnya, isu pemberian khas Sabah mempunyai kepentingan besar kepada pembangunan negeri dan perlu terus dipantau sehingga keseluruhan proses penyaluran diselesaikan.
Beliau menegaskan bahawa peranan Ahli Parlimen bukan sekadar membangkitkan persoalan, tetapi turut memastikan jawapan kementerian dapat diketahui rakyat secara jelas dan telus.