Nizam sempurnakan penutupan Kejohanan Memanah Tradisional Terbuka Tawau

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Memanah Tradisional 18 Meter Terbuka Tawau 2026 di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Tawau.

Kejohanan yang berlangsung meriah itu menyaksikan penyertaan 26 kelab memanah dari seluruh daerah di Sabah, sekali gus menjadi medan kepada para pemanah untuk memperlihatkan kemahiran, ketepatan dan semangat kesukanan masing-masing.

Menurut Nizam, penganjuran kejohanan seperti itu amat penting dalam memperkukuh ekosistem sukan memanah tradisional di Sabah, khususnya melalui penyediaan platform pertandingan yang lebih kompetitif dan tersusun.

Beliau berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menguji kemampuan, malah membantu mencungkil bakat baharu serta meningkatkan pengalaman para pemanah tempatan.

“Penganjuran kejohanan seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem sukan memanah tradisional di negeri ini dengan menyediakan platform pertandingan yang kompetitif, mencungkil bakat baharu serta memberi ruang kepada para pemanah meningkatkan kemahiran dan pengalaman,” katanya.

Nizam turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Persatuan Memanah Tawau (PERMATA) selaku penganjur atas komitmen serta usaha berterusan dalam memartabatkan sukan memanah tradisional.

Katanya, sukan memanah tradisional bukan sahaja wajar dilihat sebagai aktiviti riadah, tetapi juga sebagai wadah pembangunan bakat, pembentukan disiplin dan pengukuhan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti pemanah.

Beliau berkata, perkembangan sukan memanah tradisional di Sabah, khususnya di Tawau, menunjukkan peningkatan positif apabila semakin banyak kelab dan persatuan diwujudkan.

Menurutnya, penyertaan golongan belia yang semakin memberangsangkan turut membuktikan bahawa sukan warisan tersebut mempunyai potensi besar untuk terus berkembang pada masa hadapan.

“Perkembangan sukan memanah tradisional di Sabah, khususnya di Tawau, kini semakin menunjukkan peningkatan positif apabila semakin banyak kelab dan persatuan diwujudkan, selain penyertaan daripada golongan belia yang semakin memberangsangkan,” katanya.

Nizam berkata, usaha berterusan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan sukan memanah tradisional terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sekali gus berpotensi melahirkan lebih ramai pemanah berbakat yang mampu membawa nama Sabah ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berharap kejohanan seumpama itu dapat terus dianjurkan secara konsisten agar sukan memanah tradisional kekal menjadi kebanggaan masyarakat dan terus berkembang sebagai salah satu cabang sukan yang dekat di hati rakyat Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *