SEMPORNA: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan hadir mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi merasmikan Malam Sangom Maglami-lami sempena Regatta Lepa Ke-31 Tahun 2026, semalam.
Majlis yang berlangsung penuh meriah dan warna-warni itu menjadi antara pengisian penting dalam sambutan Regatta Lepa, acara ikonik yang cukup sinonim dengan masyarakat Bajau Laut di Semporna.
Menurut Nizam, penganjuran Malam Sangom Maglami-lami bukan sekadar acara hiburan, tetapi mencerminkan kekayaan budaya, seni tradisi dan identiti masyarakat tempatan yang terus dipelihara merentas generasi.
Beliau berkata, Regatta Lepa mempunyai nilai yang besar bukan sahaja dari sudut kebudayaan, tetapi juga sebagai produk pelancongan yang berpotensi memperkukuh ekonomi kreatif negeri.
“Malam yang penuh warna-warni ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi simbol penyatuan budaya masyarakat Bajau Laut di Semporna yang terus mempertahankan warisan seni tradisi mereka,” katanya.
Nizam berkata, usaha memelihara warisan budaya seperti Regatta Lepa perlu terus diberi sokongan kerana ia berperanan memperkenalkan keunikan Sabah kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya, acara berasaskan budaya juga mampu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya melalui sektor pelancongan, persembahan seni, kraftangan, makanan tradisi dan kegiatan ekonomi masyarakat.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Regatta Lepa Ke-31 Tahun 2026 terus menyemarakkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif di Sabah.
“Semoga Regatta Lepa tahun ini terus menyemarakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi kreatif di negeri kita,” katanya.
Nizam turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Semporna, pihak penganjur dan semua yang terlibat atas kejayaan menganjurkan acara berkenaan dengan penuh gemilang.
Beliau berkata, komitmen masyarakat Semporna dalam mempertahankan warisan dan menjayakan penganjuran Regatta Lepa membuktikan bahawa budaya tempatan merupakan aset penting dalam membina identiti, perpaduan dan daya tarikan Sabah.