LUASONG: Program Jelajah Rakyat Siri Ke-10 Parlimen Kalabakan yang berlangsung di Kampung Luasong, semalam, menjadi platform penting untuk menyantuni masyarakat pedalaman serta merapatkan jurang komunikasi antara rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady berkata, program tersebut bertujuan memberi ruang kepada penduduk setempat menyuarakan keperluan mereka secara langsung, selain mendapatkan penjelasan berhubung isu semasa serta pelbagai inisiatif kerajaan yang sedang dilaksanakan.
Menurutnya, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan maklumat, bantuan dan perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada masyarakat luar bandar, khususnya kawasan yang jauh dari pusat bandar.
“Siri jelajah ini merupakan usaha berterusan untuk mengelilingi kawasan Parlimen Kalabakan, dengan harapan segala bentuk insentif, bantuan dan program semasa yang disediakan kerajaan dapat diketahui secara menyeluruh oleh masyarakat,” katanya.
Program kali ini turut membawa pelbagai agensi kerajaan dan swasta secara terus kepada penduduk Kampung Luasong, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Koko Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia serta perkhidmatan kesihatan daripada Klinik Butiza.
Andi berkata, kehadiran agensi-agensi berkenaan memberi manfaat besar kepada penduduk kerana Kampung Luasong terletak di kawasan pedalaman dan mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan dari Bandar Tawau.
Katanya, melalui program seperti itu, penduduk luar bandar mempunyai akses lebih mudah untuk mendapatkan maklumat sahih, khidmat nasihat dan bantuan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke bandar.
Beliau berkata, kekangan maklumat masih menjadi antara cabaran utama di kawasan pedalaman, termasuk dalam memastikan rakyat benar-benar mengetahui kemudahan, insentif dan program kerajaan yang tersedia untuk mereka.
“Melalui pendekatan turun padang ini, masyarakat luar bandar kini mempunyai akses terus untuk mendapatkan maklumat sahih, bantuan serta khidmat nasihat tanpa perlu bergerak jauh ke bandar,” katanya.
Andi turut menegaskan bahawa Jelajah Rakyat bukan sekadar program bertemu masyarakat, tetapi menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan sedia ada antara pemimpin, agensi kerajaan dan rakyat.
Menurutnya, sinergi antara semua pihak amat penting bagi memastikan penyampaian maklumat dapat disalurkan dengan lebih cekap, inklusif dan berkesan, khususnya kepada komuniti di kawasan pedalaman seperti Luasong.
Beliau berkata, suara rakyat akan terus menjadi asas kepada gerak kerja pembangunan di Parlimen Kalabakan, terutama dalam memastikan keperluan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian sewajarnya.