Andi Suryady puji kadar pengisian guru, gesa lebih ramai diberi peluang

KALABAKAN, 11 April 2026: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menggesa agar lebih ramai anak Sabah diberi peluang dalam pengambilan guru baharu di peringkat nasional, meskipun kadar pengisian guru di negeri itu kini telah mencapai 98.22 peratus.

Menurut beliau, pencapaian tersebut seperti diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib semalam merupakan satu perkembangan positif yang mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan.

“Lebih membanggakan apabila 86.75 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada anak-anak Sabah, sekali gus menunjukkan kejayaan dasar memperkasakan bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa keperluan sebenar di lapangan sentiasa berkembang, khususnya melibatkan penempatan di kawasan pedalaman, bidang pengkhususan tertentu serta kesinambungan tenaga pengajar bagi jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, pengumuman pengambilan kira-kira 20,000 guru baharu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sabah bagi memastikan momentum memperkukuh bakat tempatan terus diperkasa.

Pengambilan guru Gred DG9 secara Contract of Service (CoS) itu merupakan sebahagian persiapan awal bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, dengan proses permohonan dan temuduga dijadual berlangsung antara Mac hingga Mei tahun ini.

“Pendekatan ini bukan sahaja akan mengekalkan kestabilan sistem pendidikan di Sabah, tetapi turut memastikan ia terus berkembang secara lebih inklusif dan berteraskan realiti setempat,” katanya.

Langkah memperluas peluang kepada anak tempatan dilihat penting dalam memastikan pembangunan pendidikan negeri terus mampan selari dengan aspirasi nasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *