KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pewanis Cawangan Tawau serta guru-guru SMK Kalabakan bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan perancangan aktiviti, pendidikan dan pembangunan komuniti setempat.
Pertemuan tersebut menjadi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan serta mencari solusi terbaik terhadap beberapa permasalahan yang dihadapi, khususnya melibatkan keperluan masyarakat dan institusi pendidikan di kawasan Kalabakan.
Menurut Andi, kerjasama antara pemimpin masyarakat, organisasi komuniti dan warga pendidik amat penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diberi perhatian sewajarnya.
“Semoga segala usaha dan kerjasama yang terjalin dapat memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya demi pembangunan pendidikan dan komuniti setempat,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Andi turut meluangkan masa menziarahi beberapa keluarga di Kampung Bergosong, Sebatik selepas selesai menghadiri Program Sukan Zon Sebatik, semalam.
Antara penduduk yang diziarahi termasuk Puan Rahmah Hamid, Puan Olai Jalil, Encik Apas Sandap dan Encik Sani Abdullah.
Program ziarah kasih itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk mendekati rakyat secara langsung, selain melihat sendiri keadaan dan keperluan penduduk di peringkat akar umbi.
Andi berkata, pendekatan turun padang akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan suara rakyat di Parlimen Kalabakan sentiasa didengar dan diberi perhatian.
Beliau turut mendoakan agar keluarga yang diziarahi diberikan ketabahan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Menurutnya, pembangunan kawasan tidak hanya bergantung kepada projek fizikal semata-mata, tetapi turut memerlukan hubungan erat antara wakil rakyat dan komuniti supaya setiap keperluan rakyat dapat difahami dengan lebih dekat.
“Insya-Allah, saya akan terus turun padang dan menyantuni masyarakat bagi memastikan kebajikan serta keperluan rakyat di Kalabakan terus diberi perhatian,” katanya.