Nizam pengerusikan Mesyuarat Penyelarasan APBN Sabah 2026

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Sabah bagi Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Utama KBSK, Wisma MUIS, semalam.

Mesyuarat tersebut diadakan bagi memperincikan persiapan pelaksanaan APBN 2026, termasuk penyelarasan jawatankuasa, kriteria penilaian serta aspek teknikal bagi memastikan penganjuran anugerah berkenaan berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

Menurut Nizam, APBN merupakan platform penting untuk mengiktiraf sumbangan, kepimpinan dan pencapaian belia Sabah yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan komuniti, kepimpinan, inovasi dan ekonomi kreatif.

“Mesyuarat ini sangat penting bagi memastikan segala persiapan dan kriteria penilaian berjalan lancar demi mengangkat martabat serta mengiktiraf sumbangan luar biasa belia-belia di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan seperti APBN bukan sekadar meraikan kejayaan individu atau pertubuhan belia, tetapi turut berperanan menyuntik semangat kepada lebih ramai anak muda untuk tampil sebagai penggerak perubahan dalam masyarakat.

Katanya, belia Sabah mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri, khususnya dalam bidang kepimpinan komuniti, kesukarelawanan, keusahawanan, sukan, inovasi dan ekonomi kreatif.

“Sebagai Menteri, saya komited untuk memastikan APBN 2026 menjadi platform terbaik dalam menyuntik semangat anak muda kita untuk terus cemerlang, berinovasi dan menyumbang bakti kepada kemajuan ekonomi kreatif serta komuniti keseluruhannya,” katanya.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan agensi terlibat atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan persiapan APBN Peringkat Negeri Sabah 2026.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian, agensi pelaksana dan pertubuhan belia amat penting bagi memastikan penganjuran anugerah tersebut dapat dilaksanakan secara tersusun, telus dan memberi impak kepada pembangunan belia negeri.

“Syabas dan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa serta agensi yang terlibat atas komitmen padu yang ditunjukkan. Bersama kita memperkasakan masa depan belia Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *