KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menerima kunjungan hormat daripada dua persatuan sukan negeri dalam pertemuan berasingan di Bilik Mesyuarat KBSK, Wisma MUIS, petang tadi.
Kunjungan tersebut melibatkan barisan kepimpinan Persatuan Tinju Negeri Sabah yang diketuai Presidennya, Datuk Orlando Harumal, serta Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Negeri Sabah (PEBOKS) yang diketuai Pengerusinya, Tuan Mohd Asyraaf Abdullah.
Turut hadir dalam sesi perbincangan berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Mansur Haji Asun.
Menurut Nizam, pertemuan bersama Persatuan Tinju Negeri Sabah memberi ruang kepada pihak kementerian dan persatuan untuk berbincang mengenai hala tuju, perancangan strategik serta program pembangunan sukan tinju di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, pembangunan sukan tinju perlu diperkukuh secara tersusun bagi memastikan lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan, khususnya atlet yang berpotensi membawa cabaran Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Perbincangan ini penting bagi melihat bagaimana sukan tinju di Sabah dapat terus berkembang, bukan sahaja dari segi pencapaian atlet, tetapi juga dari aspek pembangunan bakat, latihan dan hala tuju jangka panjang,” katanya.
Dalam masa sama, Nizam turut menerima kunjungan hormat daripada PEBOKS bagi membincangkan pembangunan sukan bola sepak untuk golongan orang kudung di Sabah.
Beliau berkata, usaha PEBOKS dalam menyediakan platform sukan inklusif amat dihargai kerana ia membuka ruang kepada golongan orang istimewa untuk terus aktif, berdaya saing dan menyerlahkan potensi melalui sukan.

“Usaha murni PEBOKS dalam memperjuangkan sukan inklusif wajar disokong. Sukan bukan hanya tentang pertandingan, tetapi juga tentang peluang, keyakinan diri dan penyertaan yang lebih luas dalam masyarakat,” katanya.
Nizam berkata, KBSK akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan secara menyeluruh, merangkumi sukan prestasi tinggi, pembangunan akar umbi dan sukan inklusif.
Katanya, kerjasama antara kementerian, persatuan sukan, jurulatih dan komuniti amat penting bagi memastikan ekosistem sukan Sabah terus berkembang secara seimbang dan mampan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Tinju Negeri Sabah dan PEBOKS atas komitmen serta perkongsian idea yang membina dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan negeri.
“Semoga kerjasama ini terus memacu kecemerlangan sukan Sabah dan melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama negeri,” katanya.