KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyambut baik kelulusan usul pindaan perlembagaan parti yang diluluskan dalam Persidangan Agung Khas PGRS di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Menurut beliau, pindaan tersebut membolehkan penstrukturan semula bahagian parti daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah dan Parlimen Labuan.
Katanya, langkah itu bukan sekadar perubahan pentadbiran dalaman parti, sebaliknya penyusunan strategik bagi memastikan gerak kerja PGRS menjadi lebih tersusun, kukuh dan berkesan di semua peringkat.
“Penyelarasan bahagian mengikut kawasan Parlimen akan membantu memperkemas koordinasi jentera, mengurangkan pertindihan tugas serta membolehkan pemantauan parti dilaksanakan dengan lebih jelas dan berfokus,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pindaan tersebut diyakini mampu memperkukuh kedudukan PGRS sebagai parti tempatan Sabah yang mempunyai hala tuju jelas serta kesiapsiagaan tinggi dalam mendepani cabaran politik semasa.
Dalam perkembangan sama, Nizam turut menyambut baik penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Rasinin Kautis bersama kira-kira 150 ahli Warisan Liawan ke dalam PGRS.

Menurut beliau, perkembangan itu menjadi petunjuk bahawa perjuangan PGRS terus mendapat keyakinan rakyat dan pemimpin akar umbi.
“Kemasukan mereka membuktikan bahawa pendekatan kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menekankan kestabilan politik, pembangunan rakyat dan kepimpinan mesra rakyat terus diterima masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penyertaan tersebut sebagai suntikan baharu kepada kekuatan parti khususnya di kawasan Liawan dan pedalaman Sabah.
Nizam berkata, PGRS akan terus mendukung kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memastikan perjuangan parti kekal berpaksikan kepentingan rakyat, kestabilan politik serta agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.