Nizam hadir majlis selamat berangkat jemaah Haji Sabah di SICC

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat Kepada Jemaah Haji Negeri Sabah bagi Musim Haji 1447H yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), malam tadi.

Majlis penuh keberkatan itu disempurnakan oleh Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Haji Aman dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama barisan kepimpinan negeri.

Menurut Nizam, majlis tersebut menjadi simbol sokongan dan penghargaan kerajaan negeri kepada para jemaah haji Sabah yang bakal menunaikan ibadah di Tanah Suci.

“Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang menuntut pengorbanan besar dari segi fizikal, mental dan spiritual. Ia bukan sahaja perjalanan ibadah, tetapi juga perjalanan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, peluang menunaikan ibadah haji adalah satu nikmat besar yang sentiasa dinanti-nantikan umat Islam, khususnya selepas melalui tempoh persiapan dan penantian yang panjang.

“Sama-sama kita doakan agar seluruh jemaah diberikan kekuatan fizikal, dipermudahkan segala urusan ibadah di Tanah Suci, serta pulang ke tanah air dengan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan selamat berangkat kepada seluruh jemaah haji Sabah dan berharap semua urusan perjalanan mereka dipermudahkan sepanjang musim haji tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *