SEMPORNA: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady, menyertai Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) bersama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor melibatkan beberapa lokasi strategik di Semporna.
Lawatan tersebut memberi fokus kepada aspek keselamatan, kesejahteraan komuniti pulau serta pembangunan kawasan pesisir bagi memastikan rakyat di kawasan ESS Zone terus mendapat perhatian sewajarnya.
Menurut Andi, usaha memperkukuh keselamatan di kawasan pantai timur Sabah perlu berjalan seiring dengan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat setempat.
“Lawatan ini penting bagi melihat sendiri keadaan di lapangan serta memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan pihak yang terlibat dalam menjayakan lawatan rasmi tersebut.
Selepas lawatan selesai, Andi turut mengiringi Ketua Menteri Sabah ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berangkat pulang.