KOTA KINABALU, 26 April 2026: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, menghadiri satu sesi penting berkaitan penstrukturan parti yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.
Dalam sesi tersebut, Timbalan Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, menyampaikan amanat berhubung hala tuju dan penstrukturan semula parti bagi memperkukuh organisasi serta meningkatkan kecekapan gerak kerja.
Menurut Nizam, input dan pandangan yang dikongsikan dalam sesi tersebut amat penting dalam usaha mengemas kini pendekatan parti agar lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa.
“Kita perlu menyusun strategi serta memperkasakan perjuangan parti demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya sebagai Ketua Penerangan untuk memastikan setiap perubahan dan penambahbaikan yang dirangka dapat disampaikan dengan berkesan kepada akar umbi.
“Peranan kita adalah memastikan jentera parti di semua peringkat memahami hala tuju ini dan mampu melaksanakannya secara berkesan,” katanya.
Sesi tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh struktur organisasi parti serta memastikan kesiapsiagaan jentera dalam menghadapi cabaran politik semasa selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.