TAWAU, 23 April 2026: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, hari ini merasmikan Program “Jom Baca Bersama 10 Minit” yang berlangsung di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tawau.
Program tersebut merupakan inisiatif bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, melalui amalan membaca secara konsisten walaupun dalam tempoh singkat setiap hari.
Menurut Andi, aktiviti membaca walaupun hanya 10 minit sehari mampu memberi impak besar dalam membuka minda, menambah pengetahuan serta membentuk masa depan yang lebih cemerlang.
“Budaya membaca perlu dijadikan amalan harian kerana ia adalah asas kepada pembinaan masyarakat berilmu dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menggalakkan semua lapisan masyarakat untuk memanfaatkan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang aktif dan relevan kepada komuniti setempat.
Program ini dilihat sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh literasi masyarakat serta menyokong pembangunan modal insan di peringkat akar umbi.