KOTA KINABALU, 20 April 2026: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menghadiri sesi libat urus bersama wakil rakyat Sabah dan agensi kerajaan yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Backbencher Club Pejabat Dewan Undangan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah serta Pejabat IKRAR, Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Menurut Andi, sesi libat urus berkenaan menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu utama yang memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah.
“Sesi seperti ini amat penting bagi memastikan setiap dasar dan tindakan yang diambil benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk isu kenaikan tarif elektrik, cabaran berkaitan penduduk bukan warganegara di Sabah serta perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perbincangan tersebut turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan setiap isu dapat diteliti secara menyeluruh dan diselaraskan dengan pendekatan dasar yang lebih berkesan.
Sesi libat urus ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama antara wakil rakyat dan agensi kerajaan, sekali gus memastikan suara rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar.