Nizam terima kunjungan Pengurus U20 Sabah FC di KBSK

KOTA KINABALU, 20 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, hari ini menerima kunjungan hormat Pengurus Sabah FC Bawah 20 Tahun, Nicholas Ban, bagi membincangkan persiapan pasukan menjelang saingan Piala Presiden 2026.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi perkembangan semasa pasukan muda Sabah yang kini giat membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan yang dijadualkan membuka tirai pada 25 April ini.

Menurut Nizam, Piala Presiden yang berlangsung selama tujuh bulan dengan format timbal balik merupakan platform penting bagi pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka di peringkat nasional.

“Ini adalah pentas terbaik untuk anak-anak muda kita menonjolkan bakat serta membina pengalaman kompetitif di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap komitmen barisan pemain dan jurulatih yang sedang bertungkus-lumus memastikan kesiapsiagaan pasukan berada pada tahap terbaik.

“Kementerian sentiasa komited menyokong usaha mencungkil bakat baharu sebagai pelapis kepada pembangunan bola sepak Sabah,” katanya.

Nizam berharap penyertaan Sabah FC U20 dalam kejohanan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan atlet, malah mampu mengangkat martabat bola sepak negeri ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Beliau turut mengajak semua pihak untuk terus memberi sokongan kepada pasukan muda Sabah agar kejayaan dapat dicapai dalam saingan Piala Presiden 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *