TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan memenuhi beberapa program keagamaan di sekitar Apas dan Tawau sempena sambutan Maulidur Rasul pada hujung minggu lepas.
Antara program yang dihadiri beliau ialah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Taman Sri Apas di Astaka Terbuka Taman Sri Apas, Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Masjid Nurul Iman, Batu 2, Jalan Apas serta Majlis Sambutan Maulidur Rasul “Titingan Berselawat” di Kampung Titingan.
Menurut Nizam, kehadiran beliau dalam program-program tersebut adalah bagi bersama masyarakat setempat menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, di samping memperkukuh ukhuwah dan perpaduan komuniti.
Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar majlis memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W, tetapi juga ruang untuk menghayati sirah perjuangan, akhlak mulia dan nilai keteladanan Baginda dalam kehidupan seharian.
“Semoga semangat Maulidur Rasul terus menyuburkan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan menjadi pedoman dalam membentuk masyarakat yang harmoni, penyayang dan bersatu padu,” katanya.
Pada pagi Ahad, Nizam hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Taman Sri Apas yang bertemakan “Malaysia MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”.
Majlis tersebut dianjurkan bersama oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Apas dan Masjid Cahaya Raudah Taman Sri Apas.
Program itu turut diserikan dengan acara cukur jambul anak-anak, sebagai antara detik bermakna dalam meraikan pertambahan ahli keluarga serta memohon keberkatan dan kesejahteraan buat anak-anak yang diraikan.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli komuniti, sahabat-sahabat serta para tetamu yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Katanya, kehadiran dan kebersamaan masyarakat setempat mencerminkan semangat ukhuwah serta perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk.
“Semoga anak-anak yang diraikan membesar sebagai insan yang soleh dan solehah, berakhlak mulia, berbakti kepada agama, bangsa dan negara, serta sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T,” katanya.
Pada Sabtu malam pula, Nizam turut hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Masjid Nurul Iman, Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
Beliau berkata, majlis tersebut menjadi wadah untuk memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W, memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan rasa cinta kepada Baginda.
Menurutnya, nilai kepimpinan, keteladanan dan akhlak Rasulullah S.A.W perlu dijadikan pedoman oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan belia dalam membina jati diri yang kukuh.
“Khususnya buat golongan belia, semoga nilai kepimpinan, keteladanan dan akhlak Rasulullah S.A.W dapat dijadikan pedoman dalam membina jati diri serta menjadi generasi yang mampu menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam program berasingan pada malam yang sama, Nizam turut menyempurnakan jemputan ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul “Titingan Berselawat” yang berlangsung di Ruang Legar Balai Raya Kampung Titingan, Tawau.
Majlis itu dianjurkan sebagai wadah menyemai rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W, menghidupkan amalan selawat serta menghayati sirah perjuangan Baginda.
Nizam berkata, kecintaan kepada Rasulullah S.A.W bukan hanya dilafazkan melalui kata-kata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengamalan sunnah, penghayatan akhlak serta pembentukan keluarga dan masyarakat yang berteraskan iman, kasih sayang, rahmah dan ukhuwah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tuan Mohd Shoffian Mohd Said; Mudir Madrasah Ad-Diniah Ar-Rahmaniah, Adora Sungai Imam, Tawau, Tuan Guru Abah Tasir Moding; serta Imam Daerah JHEAINS Tawau, Al-Fadhil Ustaz Sopian Mohamadong.
Nizam berharap majlis keagamaan seperti itu terus menjadi medan memperteguh kecintaan kepada Rasulullah S.A.W, mempererat hubungan masyarakat serta menyuburkan kehidupan yang dipandu ajaran Islam dan akhlak Baginda.
“Semoga majlis seperti ini terus menjadi medan untuk kita memperteguhkan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W, mempererat ukhuwah sesama masyarakat serta menyuburkan kehidupan yang dipandu oleh ajaran Islam dan akhlak Baginda,” katanya.