SELANGOR: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan meluangkan masa memberikan sokongan kepada atlet Sabah yang beraksi dalam temasya SUKMA 2026, semalam.
Beliau hadir menyaksikan secara langsung perlawanan tenpin boling kategori beregu campuran antara pasukan Sabah dan Melaka di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid.
Menurut Nizam, perlawanan tersebut memperlihatkan pertarungan taktikal dan mental yang cukup tinggi daripada kedua-dua pasukan.
Beliau berkata, kehadirannya adalah bagi memberikan sokongan moral kepada atlet Sabah yang sedang membawa cabaran negeri dalam temasya berkenaan.
“Kita mahu atlet kita tahu bahawa setiap balingan mereka membawa harapan dan doa seluruh rakyat negeri Sabah,” katanya.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih dan pegawai yang hadir memberikan sokongan kepada atlet.
Katanya, komitmen serta pengorbanan barisan kejurulatihan dan pegawai amat penting dalam membimbing atlet serta memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian sepanjang temasya berlangsung.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada barisan jurulatih dan semua pegawai yang hadir memberikan sokongan padu.
“Komitmen dan pengorbanan anda semua dalam membimbing serta menjaga kebajikan atlet amat dihargai demi memastikan kejayaan kontinjen kita,” katanya.
Pada sebelah malam, Nizam bersama rombongan kementerian turut hadir ke Stadium Selayang bagi memberikan sokongan kepada skuad bola sepak wanita SUKMA Sabah dalam aksi penentu kejuaraan menentang Selangor.
Perlawanan tersebut menyaksikan Selangor mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah.
Walaupun keputusan memihak kepada pasukan tuan rumah, Nizam tetap menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang yang dipamerkan pemain Sabah di atas padang.
Beliau berkata, skuad bola sepak wanita Sabah telah menunjukkan komitmen tinggi dan wajar menjadikan pengalaman tersebut sebagai bekalan untuk terus bangkit lebih kuat pada masa hadapan.
“Walaupun keputusan perlawanan memihak kepada pasukan tuan rumah, saya tetap berbangga dengan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan oleh srikandi-srikandi Sabah di atas padang,” katanya.
Nizam turut memberikan kata-kata semangat kepada barisan pemain dan kejurulatihan agar tidak berputus asa serta terus memperbaiki prestasi.
Katanya, perjalanan bola sepak wanita Sabah masih panjang dan mempunyai masa depan yang cerah sekiranya pembangunan bakat serta semangat pasukan terus diperkukuh.
“Kepada barisan pemain dan pihak kejurulatihan, jadikan kekalahan ini sebagai satu pengalaman berharga untuk terus bangkit lebih kuat.
“Teruskan usaha dan jangan sesekali berputus asa kerana perjalanan serta masa depan bola sepak wanita kita masih panjang dan cerah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor atas kemenangan tersebut, selain merakamkan penghargaan kepada para penyokong Sabah yang hadir memberikan sokongan padu di stadium.
Nizam berkata, sokongan rakyat Sabah amat bermakna kepada atlet yang sedang berjuang membawa nama negeri dalam temasya SUKMA 2026.
“Syabas pasukan Sabah. Teruskan perjuangan, kekalkan fokus dan buru kejuaraan,” katanya.