KOTA KINABALU, 13 April 2026: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada projek keperluan mendesak serta projek yang boleh dilaksanakan dengan segera, khususnya melibatkan institusi pendidikan dan hospital di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, dengan peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang merangkumi 1,233 projek dan program, pelaksanaan yang cekap serta pemantauan rapi amat penting bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Projek berskala kecil yang bersifat ‘low-hanging fruit’ perlu dilaksanakan dengan pantas dan berintegriti agar impaknya dapat dirasai segera oleh masyarakat,” katanya, selari dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hajiji turut menegaskan bahawa pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan terus memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan, pembangunan infrastruktur asas serta peningkatan kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata mesyuarat tersebut menjadi platform penting untuk menyuarakan aspirasi golongan belia serta penggiat industri kreatif di negeri ini.
“Mesyuarat ini merupakan medan utama untuk memastikan golongan belia dan industri kreatif terus mendapat tempat dalam arus perdana pembangunan negeri, selari dengan visi SMJ 2.0,” katanya.
Beliau menambah, kehadiran kepimpinan tertinggi negeri dalam mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara telus, efisien dan inklusif.
Kerajaan negeri turut menyeru semua agensi pelaksana untuk memperkukuh pemantauan serta menyelesaikan segera sebarang isu pelaksanaan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan dengan baik demi kepentingan rakyat Sabah.