KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyambut kepulangan atlet angkat berat Sabah, Erynn Jane Henry, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pagi tadi.
Erynn Jane pulang selepas mengharumkan nama Sabah dan Malaysia apabila meraih pingat gangsa dalam kategori 48 kilogram pada temasya Sukan Komanwel di Scotland.
Menurut Nizam, kejayaan itu merupakan pencapaian luar biasa bukan sahaja kepada Erynn Jane secara peribadi, malah turut menjadi detik bersejarah kepada sukan angkat berat wanita negara.
Katanya, pingat gangsa yang diraih atlet muda itu berjaya menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun bagi kategori wanita dalam sukan angkat berat Komanwel.
“Kejayaan beliau membawa pulang pingat gangsa dalam kategori 48kg bukan sahaja satu pencapaian peribadi yang luar biasa, malah beliau telah menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun bagi kategori wanita dalam sukan angkat berat Komanwel.
“Ini adalah satu sejarah yang amat membanggakan seluruh rakyat Negeri di Bawah Bayu,” katanya.
Nizam berkata, pihak Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Erynn Jane atas kejayaan membanggakan itu.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada kedua-dua ibu bapa serta seluruh keluarga atlet berkenaan yang berasal dari Tambunan atas sokongan dan pengorbanan mereka.
Menurutnya, kejayaan seorang juara bukan sahaja terletak kepada disiplin latihan dan sokongan sukan daripada KBSK serta Majlis Sukan Negeri Sabah, tetapi turut dipacu oleh kekuatan institusi keluarga.
“Intipati utama seorang juara bukan sahaja terletak pada kegigihan latihan atau sokongan sukan daripada KBSK Sabah dan Majlis Sukan Negeri, tetapi sokongan padu dan pengorbanan daripada institusi keluarga adalah pemangkin sebenar,” katanya.
Nizam berkata, keluarga Erynn Jane membuktikan bahawa sokongan berterusan ibu bapa mampu melahirkan anak yang cemerlang dalam sukan dan pendidikan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Erynn Jane yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sebagai tanda pengiktirafan terhadap kejayaan tersebut, Kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Sukan Negeri Sabah akan memberikan insentif tunai tambahan sebanyak RM10,000 kepada Erynn Jane.
Jumlah itu adalah tambahan kepada ganjaran RM20,000 yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara, menjadikan keseluruhan insentif yang diterima atlet berkenaan sebanyak RM30,000.
Nizam berkata, pemberian insentif tersebut diharap menjadi pembakar semangat kepada Erynn Jane untuk terus mencipta kejayaan lebih besar pada masa akan datang.
Katanya, pencapaian atlet muda itu juga wajar menjadi inspirasi kepada ibu bapa, jurulatih dan atlet muda di Sabah untuk terus percaya bahawa bakat tempatan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Saya berharap pengorbanan hebat keluarga adik Erynn ini menjadi inspirasi kepada semua ibu bapa di Sabah dalam melahirkan atlet yang berjaya,” katanya.