KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menerima kunjungan hormat daripada jawatankuasa Penaja Persatuan Bola Sepak Daerah Kalabakan di Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.
Pertemuan itu membincangkan inisiatif penubuhan sebuah persatuan bola sepak baharu di daerah Kalabakan yang bakal berperanan sebagai platform pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Menurut Nizam, usaha tersebut merupakan satu langkah positif dalam mencungkil, mengasah dan membangunkan bakat-bakat muda bola sepak, khususnya dalam kalangan belia di Kalabakan.
Beliau berkata, penubuhan persatuan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemajuan sukan, tetapi turut mempunyai peranan penting dalam memperkasa modal insan melalui pelbagai program pembangunan belia yang berimpak tinggi.
“Persatuan ini bakal menjadi platform utama bagi mencungkil dan mengasah bakat-bakat muda bola sepak di peringkat akar umbi,” katanya.
Nizam berkata, sukan bola sepak mempunyai potensi besar untuk menjadi wadah penyatuan masyarakat, selain membuka ruang kepada penglibatan belia dalam aktiviti yang sihat, berdisiplin dan membina jati diri.
Katanya, penubuhan Persatuan Bola Sepak Daerah Kalabakan juga dapat mengukuhkan lagi kerjasama strategik serta jaringan kolaborasi bersama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti setempat.
Beliau berkata, kerjasama seperti itu penting bagi memastikan pembangunan sukan daerah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berterusan dan memberi manfaat langsung kepada golongan muda.
“Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah sentiasa menyokong penuh usaha proaktif komuniti seperti ini,” katanya.
Nizam turut menegaskan bahawa sukan bukan hanya berperanan dalam aspek kesihatan fizikal, tetapi juga mampu menjadi ejen penyatuan, pemerkasaan belia dan pemangkin kepada ekonomi kreatif.
“Sukan bukan sahaja menyihatkan, malah merupakan ejen penyatuan, ekonomi kreatif dan pemerkasaan belia yang sangat luar biasa,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan penaja atas komitmen mereka dalam merealisasikan penubuhan persatuan tersebut.
“Sama-sama kita melonjakkan mutu sukan dan potensi belia Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.