Nizam hadiri Mesyuarat Tertinggi SUKMA 2026, tekankan persiapan atlet Sabah

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bil. 15/2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan, semalam.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johari, dengan tumpuan kepada persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2026.

Nizam hadir mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan ditemani Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Encik Mohd Asneh Mohd Noor.

Menurut Nizam, mesyuarat tersebut turut membincangkan perkembangan persediaan Selangor selaku tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2026, termasuk aspek penganjuran, penyelarasan teknikal serta kesiapsiagaan temasya.

Beliau berkata, penyertaan Sabah dalam temasya berkenaan memerlukan persiapan rapi dan komitmen berterusan daripada semua pihak, termasuk atlet, jurulatih, pegawai sukan dan agensi berkaitan.

“Sabah akan terus memberikan komitmen penuh dalam memastikan kontinjen negeri membuat persiapan terbaik,” katanya.

Nizam berkata, SUKMA merupakan platform penting untuk atlet muda Sabah menonjolkan bakat, menguji kemampuan dan mengangkat nama negeri di peringkat kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau berharap atlet-atlet Sabah yang terpilih mewakili negeri dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.

“Saya berharap atlet-atlet Sabah yang terpilih mewakili negeri akan memanfaatkan peluang ini dengan meningkatkan mutu latihan, mengekalkan disiplin yang tinggi serta mempamerkan semangat juang yang kental demi mengharumkan nama Sabah,” katanya.

Nizam turut menegaskan bahawa Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah bersama Majlis Sukan Negeri Sabah akan terus memantau persiapan kontinjen negeri bagi memastikan atlet mendapat sokongan sewajarnya menjelang temasya berkenaan.

Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri Sabah, persatuan sukan dan barisan kejurulatihan amat penting bagi memastikan Sabah hadir ke SUKMA 2026 dengan persediaan yang tersusun dan semangat persaingan yang tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *