Nizam hadiri Sambutan Maal Hijrah Peringkat Perbandaran Tawau

TAWAU: Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Perbandaran Tawau Tahun 1448H/2026M berlangsung penuh keberkatan di Masjid Al-Kauthar, Tawau, pagi tadi.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan turut hadir bersama isteri, Datin Hajah Wahida Mardiana Norsalim, bagi menghayati sambutan tersebut.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tuan Mohd Shoffian Mohd Said.

Menurut Nizam, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati perubahan tahun dalam kalendar Islam, tetapi membawa makna besar sebagai seruan untuk umat Islam melakukan muhasabah diri dan memperbaiki kehidupan.

Beliau berkata, peristiwa hijrah Rasulullah SAW perlu terus dijadikan pedoman dalam membina kehidupan yang lebih baik berlandaskan iman, pengorbanan, kesabaran dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Maal Hijrah bukan sekadar memperingati perubahan tahun dalam kalendar Islam, tetapi merupakan satu seruan untuk kita melakukan muhasabah diri, memperbaiki kekurangan, memperkukuhkan ukhuwah serta berhijrah ke arah kehidupan yang lebih dekat dengan nilai-nilai Islam,” katanya.

Nizam berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, menzahirkan aspirasi membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan saling menghormati.

Katanya, pembangunan sesebuah negara tidak boleh diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi juga perlu dilihat melalui nilai kemanusiaan, keadilan, ihsan dan kepedulian terhadap sesama insan.

Beliau berkata, semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam kehidupan harian melalui usaha memperkukuh hubungan kekeluargaan, perpaduan masyarakat dan tanggungjawab bersama membina komuniti yang harmoni.

Menurutnya, nilai yang dibawa oleh peristiwa hijrah amat relevan dalam membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin, berakhlak dan saling membantu, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa.

“Semoga semangat hijrah yang dibawa oleh Rasulullah SAW terus menjadi pedoman dalam membentuk diri, keluarga dan masyarakat agar sentiasa bergerak ke arah kebaikan, keberkatan dan keredaan Allah SWT,” katanya.

Nizam turut mendoakan agar tahun baharu Hijrah ini membawa rahmat, keamanan dan kesejahteraan buat seluruh warga Tawau serta umat Islam keseluruhannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *