Nizam rasmikan Gerai Jualan Hasil TKPM Tawau di Batu 13 Jalan Apas

TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan merasmikan Gerai Jualan Hasil Sayur-sayuran dan Buah-buahan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau di Batu 13, Jalan Apas, Ahad lepas.

Penubuhan gerai jualan itu merupakan inisiatif bagi menyediakan pusat sehenti kepada warga Tawau untuk mendapatkan hasil pertanian segar, berkualiti dan terus daripada ladang pada harga yang lebih berpatutan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pertanian Negeri Sabah, Datuk Ts. Haji Jifrin Haji Mohamad, serta Pemangku Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tuan Mohd Shoffian Mohd Said.

Menurut Nizam, inisiatif seperti itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, tetapi turut membuka ruang pemasaran lebih baik kepada pengusaha pertanian tempatan.

Beliau berkata, kewujudan gerai jualan berkenaan mampu membantu memperkukuh keterjaminan makanan, selain menyokong ekonomi komuniti setempat khususnya dalam kalangan petani dan pengusaha hasil pertanian.

“Penubuhan gerai jualan ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam menyediakan pusat sehenti kepada warga Tawau untuk mendapatkan hasil pertanian segar, berkualiti serta terus daripada ladang pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Nizam turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan usaha tersebut.

Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti pertanian amat penting bagi memastikan produk tempatan dapat dipasarkan dengan lebih tersusun dan memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam masa sama, Nizam berkata beliau turut mengambil inisiatif menyokong penambahbaikan kemudahan di kawasan tersebut melalui pemasangan 10 buah lampu solar di sekitar tapak gerai.

Menurutnya, pemasangan lampu solar itu bertujuan memastikan urusan jual beli dapat berjalan dengan lebih selesa, selamat dan lancar, khususnya bagi peniaga serta pengunjung.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan tapak gerai akan ditambah baik melalui kerja-kerja meratakan kawasan serta pemasangan konkrit bagi menyediakan ruang parkir yang lebih selesa.

Nizam berkata, kemudahan parkir yang lebih baik penting bagi memudahkan pengunjung hadir membeli hasil pertanian, sekali gus membantu meningkatkan potensi gerai tersebut sebagai pusat pemasaran hasil tani tempatan.

“Semoga gerai jualan ini terus berkembang serta menjadi salah satu pusat pemasaran hasil pertanian yang memberi manfaat kepada masyarakat Tawau,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *