KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) di Bilik Mesyuarat Utama KBSK, Wisma MUIS, semalam.
Mesyuarat tersebut melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian serta ketua-ketua agensi di bawah KBSK bagi meneliti perkembangan semasa pelaksanaan program, memantau prestasi agensi dan menyusun strategi susulan selepas mesyuarat Kabinet.
Menurut Nizam, perbincangan itu penting bagi memastikan setiap dasar, program dan inisiatif kementerian dapat dilaksanakan secara tersusun serta memberi impak langsung kepada kumpulan sasar di seluruh Sabah.
Beliau berkata, tumpuan utama kementerian adalah untuk terus memacu potensi belia, memperkukuh pembangunan sukan serta merancakkan industri kreatif sebagai antara sektor penting dalam pembangunan negeri.
“Fokus utama adalah meneliti perkembangan semasa program, memantau prestasi agensi, serta menyusun strategi pasca-Kabinet demi memacu potensi belia, sukan dan industri kreatif di Sabah,” katanya.
Nizam berkata, penyelarasan berterusan antara kementerian dan agensi amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan di lapangan.
Katanya, agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif memerlukan gerak kerja yang bersepadu, khususnya dalam memastikan peluang, kemudahan dan manfaat dapat sampai kepada golongan sasar termasuk belia, atlet, persatuan sukan, penggiat kreatif dan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dalam menjayakan mesyuarat tersebut.
“Terima kasih atas komitmen padu semua yang terlibat. Segala perancangan ini adalah usaha berterusan kita untuk memastikan impak maksimum sampai terus kepada kumpulan sasar di seluruh pelosok negeri,” katanya.
Nizam berkata, KBSK akan terus memperkukuh pendekatan pemantauan, penyelarasan dan pelaksanaan program bagi memastikan hala tuju kementerian selari dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.