TAWAU: Program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 2026 yang menjadi amalan tahunan di kawasan Apas berjaya dilaksanakan dengan lancar melalui penglibatan jawatankuasa masjid, surau, sukarelawan dan masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, beliau turut berkesempatan menyaksikan sendiri proses penyembelihan dan pengagihan daging korban di beberapa kawasan sekitar semalam.
Antara lokasi yang terlibat bermula seawal pagi selepas selesai Solat Sunat Aidiladha ialah Masjid Babul Khair Kampung Titingan, Taman Sri Titingan, Kampung Apas Darat, Kampung Indrasabah, Kampung Wakuba, Taman Sri Apas, Kampung Batu 4 serta Tawau Lama.
Menurut Nizam, program tersebut turut diteruskan di beberapa kawasan lain bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat disampaikan kepada lebih ramai masyarakat yang memerlukan.
Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi turut membawa nilai besar dalam memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Program seperti ini menjadi medium penting yang mendekatkan pemimpin dengan rakyat, di mana keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat dapat diterjemahkan melalui usaha membantu golongan yang memerlukan serta berkongsi rezeki secara lebih menyeluruh,” katanya.
Nizam berkata, semangat gotong-royong yang dizahirkan sepanjang program berlangsung jelas menunjukkan kekuatan perpaduan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, nilai kerjasama, keikhlasan dan semangat saling membantu merupakan asas penting kepada pembentukan komuniti yang lebih harmoni serta bersatu padu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan ibadah korban Aidiladha tahun ini, khususnya jawatankuasa masjid dan surau, para petugas, sukarelawan, penyumbang serta penduduk yang bergotong-royong dari awal proses penyembelihan sehingga selesai pengagihan.
“Semoga segala usaha, pengorbanan dan amal kebajikan yang dilakukan diterima serta diberkati Allah SWT dan menjadi asbab kepada keberkatan serta kesejahteraan buat seluruh masyarakat,” katanya.