Nizam: Sabah Muaythai Expo bukti pemerkasaan wanita dalam sukan

KOTA KINABALU: Penganjuran Sabah Muaythai Expo: Ladies Fight & Pro Rising Fight 2026 membuktikan agenda pemerkasaan wanita dalam arena sukan di Sabah semakin berkembang dan mampu diterjemahkan melalui kepimpinan, keberanian serta keupayaan mengurus acara berskala besar.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkata, kejohanan sukan tempur itu berjaya memecahkan dominasi tradisi apabila digerakkan sepenuhnya oleh ekosistem wanita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sabah Muaythai Expo: Ladies Fight & Pro Rising Fight 2026 di Palm Square, Tingkat 4, Centre Point Sabah, semalam.

Menurut Nizam, kejayaan penganjuran tersebut menjadi bukti jelas bahawa wanita Sabah bukan sahaja mampu bersaing dalam gelanggang sukan tempur, malah berupaya memimpin dan mengendalikan acara sukan secara tersusun serta profesional.

“Saya amat kagum dan bangga melihat kejohanan sukan tempur ini berjaya memecahkan dominasi tradisi, sekali gus menjadi bukti nyata agenda pemerkasaan wanita dalam arena sukan di Sabah.

“Kejohanan ini digerakkan sepenuhnya oleh ekosistem wanita yang melibatkan seramai 313 orang, merangkumi urus setia teknikal, pasukan perubatan, kru media, pengurusan, atlet, sehinggalah barisan jurulatih,” katanya.

Nizam berkata, penglibatan menyeluruh itu mencerminkan kepimpinan kelas pertama wanita Sabah yang bukan sahaja menonjol dari sudut keberanian sebagai atlet, tetapi juga dari aspek kecekapan organisasi, pengurusan teknikal dan komitmen menjayakan acara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, Cik Addyanna Adangku dan Cik Mardiana Mohd Maulana, serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menjayakan kejohanan tersebut.

“Syabas dan tahniah kepada barisan jurulatih hebat serta seluruh jawatankuasa penganjur. Anda semua membuktikan pemerkasaan wanita di Sabah bukan sekadar slogan, tetapi satu realiti yang digerakkan dengan keberanian dan kerja keras,” katanya.

Nizam berkata, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) akan terus menyokong usaha yang membuka lebih banyak ruang penyertaan kepada wanita, belia dan atlet tempatan dalam pelbagai cabang sukan.

Katanya, pembangunan sukan di Sabah perlu terus bersifat inklusif, memberi peluang kepada semua kelompok masyarakat serta mengiktiraf peranan wanita sebagai atlet, jurulatih, pentadbir dan penggerak utama ekosistem sukan negeri.

“KBSK akan terus menyokong penuh usaha murni seperti ini demi kemajuan sukan dan pembangunan belia kita di Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *